Wednesday, 31 October 2012

Piramid Makanan

PEMAKANAN yang baik semasa kanak-kanak penting untuk menyokong keperluan kanak-kanak yang sedang membesar. Mereka memerlukan tenaga dan nutrien yang mencukupi untuk tumbesaran, memelihara fungsi tubuh dan kesihatan keseluruhan. Pemakanan yang baik dapat membantu mengekalkan sistem imun yang kuat serta menggalakkan pemulihan lebih cepat jika jatuh sakit. Pemakanan yang baik juga penting untuk perkembangan mental kanak-kanak. Otak dan sistem saraf anak anda memerlukan nutrien mencukupi untuk berfungsi secara optimum. Dengan sokongan pemakanan yang baik, anak anda akan lebih bersedia untuk belajar dan cemerlang di dalam akademik.
          Karbohidrat Sumber tenaga terbaik untuk tubuh. Karbohidrat (seperti kanji, gula) akan dipecahkan kepada glukosa serta digunakan untuk menggerakkan fungsi tubuh dan membekalkan tenaga. Glukosa adalah satu-satunya sumber tenaga untuk otak anak anda. Sumber karbohidrat kompleks yang baik termasuk beras, gandum, oat, barli dan produk-produk yang diperbuat daripada bahan-bahan ini (seperti mihun, kuetiau, roti, biskut dan bijirin sarapan), dan juga ubi seperti kentang, keledek dan keladi.
          Protein Asas binaan tulang, darah dan otot. Membaiki, mengganti dan menghasilkan tisu untuk memastikan tumbesaran optimum. Protein diperbuat daripada asid-asid amino. Tubuh memerlukan 22 asid amino: 14 boleh dihasilkan di dalam tubuh dan lapan mesti diambil daripada makanan (asid amino perlu). Protein daripada sumber haiwan (seperti ikan, ayam itik, daging, telur, susu dan produk tenusu) dan sumber tumbuh-tumbuhan (seperti kekacang, kacang pea dan lentil).
           Lemak membekalkan tenaga, vitamin-vitamin larut lemak dan asid-asid lemak penting yang hanya boleh didapati daripada makanan. Mengekalkan suhu tubuh dan menghasilkan hormon serta sel-sel dalam tubuh. Sumber lazim adalah minyak masak (seperti minyak sawit, minyak kacang soya). Lemak-lemak tak tepu, seperti daripada ikan, legum, kekacang dan biji-bijian merupakan sumber lemak diet yang baik. Kurangkan pengambilan lemak tepu daripada sumber haiwan seperti ghee, lemak khinzir dan juga kelapa.
          Vitamin dan mineral Mengekalkan tumbesaran dan kesihatan keseluruhan, kerana kedua-duanya menjalankan fungsi-fungsi penting di dalam tubuh. Diperlukan dalam kuantiti kecil, tidak boleh dihasilkan dalam tubuh dan hanya boleh didapati daripada makanan. Keperluan boleh dipenuhi dengan memakan pelbagai jenis makanan daripada lima kumpulan makanan dalam piramid makanan.
          Air mengekalkan keseimbangan cecair tubuh. Menyerap haba metabolik di dalam tubuh. Berfungsi sebagai medium pengangkutan di dalam tubuh (seperti menghantar nutrien ke organ-organ di dalam tubuh dan menyingkirkan bahan kumuh daripada tubuh).
          Bekalkan makanan yang betul, pada masa yang betul, serta dalam jumlah yang betul. Hidangkan makanan daripada kelima-lima kumpulan makanan di dalam piramid tersebut mengikut bilangan hidangan yang disarankan. Jangan lupa untuk mempelbagaikan makanan yang disediakan setiap hari kerana tiada satu jenis makanan yang boleh memenuhi kesemua keperluan pemakanan anda.

4 comments:

  1. Salam sejahtera.. maklumat yang dikongsikan amatlah bermanfaat kepada pengunjung blog ini. Syabas dan teruskan usaha cikgu.

    ReplyDelete